Saturday, February 7, 2009

Bahasa kucing.

Kucing kami alien. Dia datang lima tahun lepas dan masih setia bersama kami, sehinggakan kami merasakan bahawa kucing kami ialah benar-benar seekor kucing, dan bukan alien dari planet XHSHHJ. Ya, kamu tak mungkin bisa menyebut butir-butir konsonan tersebut, namun di tempat asal kucing kami, konsonan mempunyai sebutan seakan-akan huruf vokal yang tidak dapat disebut oleh mulut normal manusia. Malah, makhraj-makhraj huruf yang disebut di sana juga tidak sama dengan di tempat kita. Ejaan yang telah kuberi juga bukanlah ejaan yang betul, tetapi ejaan yang terhampir. Ya, kucing kami alien. Alien yang lari dari planetnya kerana masalah dalaman. Sekarang ini, kucing kami hanya mahu hidup sebagai si pemalas dan makan apabila diberi. Sekarang ini, kucing kami tidak lagi tahu berbahasa dengan bahasanya sendiri, tetapi mengeluarkan bunyi seakan-akan mengiau, tetapi mungkin lain sedikit dari bunyi biasa. Itupun sekiranya perlu. Dia selalunya hanya diam, kerana dia tau aksen bahasa kucingnya tidak sama dengan aksen bahasa kucing di bumi. Sekarang ini, kucing kami masih ragu-ragu akan kepercayaan, sama ada dia boleh mempercayai makhluk-makhluk lain di sekitar rumah kami seperti sang tupai dan sang arnab kerana kepercayaannya pada yang lain sudah pudar, mungkin. Tapi kucing kami setia dengan kami, kerana mungkin kami menghilangkan kerinduannya pada rakan-rakan sekampungnya dari planet XHSHHJ. Kami bukanlah alien tetapi kucing kami alien.

2 comments: